Seramai 40 orang pelajar daripada Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) telah menganjurkan program Khidmat Ummah di sekolah pendidikan khas Kuala Terengganu pada 10 November lalu.
Program yang bertujuan bagi mendekatkan diri dengan golongan kanak-kanak istimewa ini diketuai dua orang pensyarah subjek Braille di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Mohd Nur Adzam Rasdi dan Norakyairee Mohd Raus. Program ini disertai pelajar-pelajar daripada Kelab Sahabat Faqeh Usim dan juga 18 orang pelajar tahun akhir Pengajian a-Quran dan Sunnah bagi melakukan kajian projek tahun akhir mereka iaitu buku Panduan Solat Untuk Orang Buta.
Populasi kelahiran anak-anak kurang upaya semakin meningkat sejak beberapa tahun ini. Pada Februari 2014, telah dicatatkan seramai 498,906 OKU telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lebih kurang 35 peratus daripada jumlah ini merupakan kanak-kanak.
Kecacatan yang dialami termasuklah kecacatan atau kekurangan pada anggota badan, diskleksia, autisme dan sindrom Down (N.A, 3 Julai, 2014). Kebanyakan masyarakat masih tidak dapat menerima kelahiran anak-anak istimewa ini di dalam keluarga mereka. Bahkan ada sesetengah masyarakat yang menganggap mereka sebagai defect creatures of God, sedangkan Islam sendiri telah meletakkan kedudukan golongan ini di tempat yang istimewa sebagaimana dalam al-Quran Surah Al-Fath ayat 17 yang bermaksud: “Tiada dosa atas orang-orang yang buta dan atas orang yang pincang dan atas orang yang sakit (apabila tidak ikut berperang).”
Sebagai ibu bapa atau penjaga kepada anak-anak istimewa, mereka memiliki kehidupan yang berbeza berbanding orang lain. Islam telah memberi panduan kepada kita dalam menjaga anak-anak istimewa di dalam al-Quran dan hadis. Walaupun tidak secara langsung tapi kita dapat fahami dengan meneliti tafsiran ayat tersebut. Antara teknik penjagaan yang pertama adalah tidak mengasingkan anak-anak istimewa daripada masyarakat.
Sesetengah ibu bapa merasa malu memiliki anak istimewa lalu mereka nekad menyembunyikan anak itu dengan tidak membawa mereka keluar atau melarang mereka daripada beraktiviti sosial dengan masyarakat.

“Padahal telah jelas ALLAH nyatakan di dalam Surah An-Nur ayat 61 yang bermaksud, “Tidak ada halangan bagi orang buta, tidak (pula) bagi orang pincang, tidak (pula) bagi orang sakit, dan tidak (pula) bagi diri mu sendiri, makan (bersama-sama mereka) di rumah kamu sendiri atau di rumah bapa-bapa mu, di rumah ibu-ibu mu, di rumah saudara-saudara mu yang laki-laki, di rumah saudara mu yang perempuan, di rumah saudara bapa mu yang laki-laki, di rumah saudara bapa mu yang perempuan, di rumah saudara ibu mu yang laki-laki, di rumah saudara ibu mu yang perempuan, di rumah yang kamu miliki kuncinya atau di rumah kawan-kawan mu. Tidak ada halangan bagi kamu makan bersama-sama mereka atau sendirian. Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah dari) rumah-rumah (ini) hendaklah kamu memberi salam kepada (penghuninya yang bererti memberi salam) kepada diri mu sendiri, salam yang ditetapkan dari sisi ALLAH, yang diberi berkat lagi baik. Demikianlah ALLAH menjelaskan ayat-ayatnya (Nya) bagi mu, agar kamu memahaminya.”